Friday, 4 May 2012

TANGISAN UNTUKNYA


Seawal-awal kelahiran seorang bayi, fitrahnya ialah dia akan menangis. Indahnya system fisiologi ciptaan Allah SWT. DiciptaNya sifat menangis bertujuan memaksa ‘septum secundum’ pada ‘right atrium of the heart’ (atrium kanan) bercantum dengan ‘primary septum’ untuk menutup ‘foramen ovale’ yang menghubungkan atrium kanan dan atrium kiri. Foramen ovale hanyalah relevan di alam rahim, jika di alam dunia, ia tidak ditutup, maka bayi akan mengalami masalah jantung berlubang yang bisa meragut nyawa.

Mungkin juga bayi yang menangis itu, menangis kerana menyedari bakal menjadi khalifah Allah untuk memakmurkan alam semesta ini. Mungkin juga, bayi itu menangis kerana sedar bahawa dia sudah berada di alam yang akan menentukan letak duduk rohnya di alam akhirat nanti. Mungkin juga bayi itu menangis mengenangkan sama ada mampu atau tidak menyempurnakan ikrarnya semasa di alam rahim.

Bagi kita manusia dewasa, sewajarnya kita merenung dan bermuhasabah kembali hikmah disebalik tangisan bayi ini kerana ianya merupakan pengajaran buat diri kita. Sewajarnya kita kaitkan tangisan itu dengan ketakutan kepada Allah SWT. Kerana dengan rasa gerun dan takutnya kita kepada Yang Maha Esa akan dikurniakan syurga.

Firman Allah SWT,

“Dan bagi orang yang takut saat menghadap Tuhannya ada dua syurga. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” – (Ar-Rahman : 46-47)

Hisaplah sejauh manakah pula rasa takut ini menjadi pendorong untuk kita mengerjakan seluruh ibadah yang diwajibkan keatas kita. Renungkan juga sejauh mana kita takut kepada Allah sehingga berderai air mata.

Sabda Nabi Muhammad SAW,

“Barang siapa daripada seorang hamba Allah yang keluar daripada kedua-dua matanya, airmata sebesar lalat atau kepala lalat sekalipun, kerana takut kepada Allah hingga mengenai wajahnya, maka api neraka tak akan menyentuhnya, selamanya.” - (Samarqandi, Tanbih Al-Ghafilin)

Beberapa kisah berkenaan tangisan manusia-manusia mulia di muka bumi ini yang sangat-sangat takut kepada Allah SWT.

1.Tangisan Junjungan Kita Nabi Muhammad SAW.

Pada suatu hari Rasulullah SAW meminta Ibnu Mas’ud membacakan beberapa potong ayat Al-Quran. Ibnu Mas’ud membacakan ayat dari surah An-Nisa dan Rasulullah mengamatinya dengan bersungguh-sungguh serta tenang sehingga sampai kepada ayat :

“Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (Rasul) daripada tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu) – (An-Nisa : 41)

Rasulullah bersabda, “Cukuplah sekadar itu”

Ibnu Mas’ud berkata : “Kemudian aku palingkan pandanganku ke wajah Rasulullah SAW. Aku lihat kedua-dua matanya berlingan air mata” - Hadith riwayat Imam Bukhari dalam sahihnya,

2. Umar R.A menangis

Menurut ‘Ubaid bin Umair R.A, ketika Umar Al-Khattab mengerjakan solat subuh bersamanya, baginda membaca Surah Yusuf dari awal hingga ke ayat 84:

“Dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya” – (Surah Yusuf : 84)

Baginda menangis dan kemudian rukuk.

Dalam satu kisah yang lain, menurut seorang sahabat, Hisyam bin Al-Hassan, beliau berkata “Umar membaca ayat-ayat Al-Quran lalu menagis sehingga hampir tercekik kerongkongnya. Baginda kemudian kembali ke rumah, orang ramai menyangkakan baginda demam.

3. Tangisan Usman R.A

Usman bin Affan , menangis jika melewati tanah perkuburan sehingga basah janggutnya. Hani’, hambanya bertanya kenapa Usman menangis, lalu Usman menjawab

Aku terdengar Rasulullah SAW bersabda, “kubur adalah tempat pertama daripada tempat-tempat akhirat. Jika selamat darinya, maka mudahlah selanjutnya. Jika tidak, selanjutnya adalah azab yang lebih mengerikan.”

Usman menambah, “Aku tidak pernah melihat satu pemandangan yang lebih menakutkan selain daripada kubur”

Begitulah beberapa kisah insan-insan mulia yang sangat mudah tersentuh jiwanya lalu menangis kerana takutkan Allah SWT. Kita sebagai seorang muslim, sewajarnya perlu memiliki sifat takut kepada Allah didalam kehidupan kita.

Nabi dan para sahabat adalah pejuang agama Allah, bersama-sama menegakkan daulah Islamiyyah dan pada masa yang sama tangisan sebagai hamba dek kerana takut kepada Allah bergerak seiiring didalm helaian sirah perjuangan agung ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah, sedaya mampu cubalah untuk menangis mengenangkan kekuasaan Allah dan pada masa yang sama baikilah diri menjadi untuk menjadi pejuang agama yang dekat dengan Allah SWT. Semoga kita sama-sama beroleh pertolongan daripada Allah SWT

No comments:

Post a Comment