RISALAH BERHIKMAH
PADA MENYATAKAN HUKUM BERSOLAT KETIKA KHUTBAH
Sabda Nabi SAW: “Apabila salah seorang kamu datang ke masjid ketika khatib sedang
berkhutbah, maka hendaklah ia bersolat dua rakaat dengan meringkaskannya” [ Muslim, Abu Dawud]
Berkata Imam An Nawawi mengulas hadith di atas: “Ini adalah nas yang tidak dapat ditakwilkan lagi (
jelas maknanya ). Dan aku tidak merasa bahawa ada seorang alim yang sampai
kepadanya lafaz ( hadith) ini serta menganggapnya sahih akan mengatakan
sebaliknya” [ Fathul Baari,
jilid 3 m/s 76 ]
Melalui hadith di atas dan hadith-hadith yang lain
serta kata-kata Imam Nawawi tersebut, maka dapatlah difahami bahawa sesiapa yang BARU MASUK KE MASJID diperintahkan untuk bersolat sunat 2 rakaat yang ringkas samaada
Tahiyyatul masjid ataupun sunat Qabliah Jumaat ( jika mengikut pendapat ulama
mazhab Asy Syafi’e), sekalipun ketika khatib sedang berkhutbah. Hukumnya adalah SUNAT.
Sekarang, mari kita lihat apakah pula hukum bagi orang yang SUDAH HADIR di dalam masjid mengerjakan solat ketika khatib sudah
di atas mimbar. Berikut adalah sejumlah keterangan yang dinukil daripada
kitab-kitab muktabar mazhab Asy Syafi’e.
11. “ Dan MAKRUH
TAHRIM walaupun bagi orang
yang tidak wajib baginya Jumaat,setelah duduknya khatib di atas mimbar,
sekalipun ia tidak mendengar khutbah, melakukan solat fardhu walaupun solat
yang ia tertinggal lalu diingatnya ketika itu yang mana pada hukum asalnya
solat tersebut hendaklah ditunaikan segera apabila teringat, atau solat sunat;
walaupun sewaktu doa kepada pemerintah (di dalam khutbah). Pendapat yang awjah (terpilih) ialah solat itu (jika dikerjakannya) TIDAK SAH,
seumpama (hukum) solat di dalam waktu yang dimakruhkan, bahkan lebih utama lagi
(dihukumkan makruhnya). Dan wajib bagi orang yang sedang bersolat untuk
meringkaskan solatnya sekadar melaksanakan apa yang perlu (rukun solat) ketika
khatib telah duduk di atas mimbar.” [
Fathul Mu’in, fasal Solat Jumaat, m/s 68 ]
22. “Dan HARAM atas orang yang hadir di dalam masjid mengerjakan
sembahyang kemudian daripada khatib sudah duduk di atas mimbar dan jika tiada
ia mendengar akan khutbah sekalipun.” [ Sabilal Muhtadiin, Jilid 2, m/s 52 ]
33. “Selain daripada tahiyyatul masjid (atau Qabliah
Jumaat mengikut ulama mazhab Asy Syafi’e) adalah DIHARAMKAN solat dengan sebab naiknya khatib ke mimbar,
sekalipun ia belum berkhutbah..” [
Al Fiqhul Islami Wa Adillatuh, Jilid 2 m/s 1314 ]
44. “maka HARAM orang yang sudah hadir di dalam masjid, lagi TIADA SAH ia sembahyang sunat
atau fardhu tatkala khatib membaca, samaada sudah diperbuat sunat itu dahulu
daripada khutbah atau belum lagi diperbuatnya.” [
Matla’al Badrain, akhir Bab Solat Jumaat, m/s 47 ]
Pecahan masalah
Sekarang mari kita lihat situasi yang seringkali
berlaku di masjid-masjid ketika hari Jumaat di mana seseorang masuk ke masjid
ketika AZAN KEDUA berkumandang dan khatib sudahpun berada di atas mimbar. Lalu kita
dapati orang tersebut akan berdiri menunggu sehingga habisnya azan dan setelah
itu apabila khatib berdiri memulakan khutbahnya, ia pula bertakbiratul ihram
untuk bersolat!
Jika kita merujuk kembali keterangan-keterangan
yang telah dikemukakan sebelum ini, nyatalah bahawa solat yang dilakukannya
adalah HARAM atau sekurang-kurangnya MAKRUH TAHRIM dan TIDAK SAH.
Seandainya ada yang beralasan bahawa orang tersebut
dikira baru masuk ke masjid kerana ia belum duduk, maka alasan ini adalah
dangkal dan tidak dapat dijadikan hujjah sama sekali. Ini kerana masa yang diambilnya untuk menunggu habisnya azan
adalah mencukupi untuknya menyelesaikan dua rakaat yang ringkas. Demikian juga dari segi adatnya, orang
tersebut dikira sebagai orang yang TELAH
HADIR dan bukannya baru hadir
berdasarkan lamanya berdiri di dalam masjid itu.
Jika ada yang mengatakan, dia perlu menjawab azan!
Maka kita katakan, menjawab azan itu hukumnya sunat dengan kesepakatan ulama,
sedangkan diam mendengar khutbah itu wajib mengikut pendapat sebahagian ulama.
Dan tidaklah wajar untuk melakukan sesuatu yang sunat yang mengakibatkannya
jatuh kepada yang haram atau sekurang-kurangnya makruh tahrim.
Mungkin asal kepada kekeliruan ini adalah apabila
ada si fulan yang melihat si A masuk ke masjid
ketika AZAN PERTAMA berkumandang, dan si
A itu berdiri menjawab azan kemudian lalu bersolat. Lantas si fulan ini yang
beramal secara ikut-ikutan tanpa ilmu menyangka tiada bezanya berdiri ketika
azan pertama dan azan kedua lalu meniru perlakuan si A pada azan yang kedua.
Kemudian perkara tersebut ditiru pula oleh orang lainnya sehingga meratalah dan
teradatlah kekeliruan tersebut.Sehingga kita menyaksikan orang yang melakukan
hal tersebut dianggap benar, sedangkan orang yang melakukan yang sebenarnya
pula dipandang tidak memahami agama. Allahul musta’aan.
Penyelesaiannya
Secara ringkasnya, apa yang patut dilakukan oleh
orang yang masuk ke masjidKETIKA AZAN KEDUA berkumandang adalah TERUS MENUNAIKAN SOLAT 2 RAKAAT YANG RINGKAS TANPA
PERLU MENUNGGU SEHINGGA HABISNYA AZAN berdasarkan keterangan-keterangan yang telah dijelaskan di atas.
Semoga risalah yang ringkas ini bermanfaat untuk
penulisnya serta sesiapa yang membaca dan menyebarkannya dan menjadi bekalan
yang berguna di hari yang tiada berguna anak pinak dan harta benda, kecuali
mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Ameen.
No comments:
Post a Comment