Tuesday, 8 May 2012

KATA-KATA SAHABAT SAW


Berkata Abu Bakr As Siddiq r.anh: "Sesungguhnya iblis berdiri di hadapanmu, nafsu di kananmu, keinginan di kirimu, dunia di belakangmu, anggota badan di sekelilingmu dan Allah yang Maha Perkasa di atasmu dengan kekuasaanNya.
Iblis la’natullah akan mengajakmu meninggalkan agama, nafsu mendorongmu melakukan maksiat, keinginan menyuruhmu kepada syahwat,dunia menggodamu agar memilihnya berbanding akhirat, anggota badan menghasutmu melakukan dosa, sementara Allah yang Maha Perkasa sentiasa menyerumu kepada syurga dan keampunanNya.
Sesiapa yang mengikut ajakan iblis hilanglah agamanya, sesiapa yang terdorong mengikuti nafsu hilanglah ruhnya, sesiapa yang menerima arahan keinginannya hilanglah akalnya, sesiapa yang tergoda dengan dunia hilanglah akhiratnya, sesiapa yang termakan hasutan anggota badannya akan hilanglah darinya syurga dan barangsiapa yang menyahut seruan Allah akan hilanglah darinya segala kejahatan dan akan beroleh segala kebaikan yang tidak terhingga.

Umar r.anh berkata; "Allah menyembunyikan enam perkara pada enam perkara;
1.            Dia menyembunyikan redhoNya dalam amal ketaatan,
2.            Ia menyembunyikan murkaNya dalam kemaksiatan,
3.            Ia merahsiakan NamaNya yang teragung di dalam Al-Quran,
4.            Ia merahsiakan Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan,
5.            Ia menyembunyikan Solatul Wustho dalam solat lima waktu, dan
6.            Ia merahsiakan kiamat dalam hari-hari yang mendatang.

Kata Utsman r.anh: "Sesungguhnya seorang mukmin itu sentiasa berada di dalam enam ketakutan;
1.            Takut-takut seandainya Allah mencabut iman daripadanya;
2.            Takut-takut malaikat hafazah (pencatat amal) akan mencatat amal yang boleh memalukannya di hari kiamat kelak;
3.            Takut-takut syaitan akan menghapuskan amalannya,
4.            Takutkan malaikat maut yang mungkin akan mencabut nyawanya dalam keadaan ia sedang lengah (kelalaian);
5.            Takut akan dunia yang menipunya dan menyibukkannya daripada akhirat; dan
6.            Takut-takut ahli keluarganya menjadikannya sibuk sehingga menyibukkannya daripada mengingati Allah.

Ali r.anh berkata: "Sesiapa yang menghimpunkan enam perkara pada dirinya pasti akan menjadikan syurga harapannya dan neraka ketakutannya.
1.            Sesiapa yang mengenali Allah lalu mentaatiNya;
2.            Ia mengenali syaitan lalu membantahnya,
3.            Ia mengenal akhirat lalu ia berusaha meraihnya,
4.            Ia mengenali dunia (tipuannya) maka ia menolaknya;
5.            Ia mengenali kebenaran lalu mengikutinya,
6.            Ia mengenali kebatilan lantas menjauhinya.

Kata Ali r.anh lagi: "Ni’mat itu ada enam: Islam, Al-Quran, Nabi Muhammad SAW, ke’afiatan (kesihatan dan kesejahteraan), tutupan (Allah menutup aibnya) dan merasa cukup daripada manusia (tidak berharap kepada mereka)".

No comments:

Post a Comment