Sunday, 6 May 2012

PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SOLAT MALAM


PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SOLAT MALAM.

Adalah Nabi SAW memanjangkan rakaat-rakaat solat malam berbanding solat siang hari. Adakalanya Baginda membaca surah Al Baqarah, Ali Imran dan An Nisaa di dalam satu rakaat.
Adapun bilangan rakaat solat malam Baginda adalah tidak pernah melebihi 11 (sebelas) rakaat. Berkait dengan itu, para ulama berbeza pandangan tentang mana yang lebih afdhal di antara berdiri dan sujud.

Berkata segolongan ulama: Berdiri itu lebih utama.
1. Kerana Nabi SAW sangat memanjangkan solat malamnya (dengan membaca bacaan yang panjang). Jikalau sujud lebih afdhal, pasti Baginda akan melamakannya (sujud).
2. Juga bahawa dzikir yang disyariatkan semasa berdiri (iaitulah bacaan Al Quran)adalah seutama-utama dzikir, dengan itu jadilah rukunnya (berdiri) juga seafdhal-afdhal rukun.
3. Demikian juga, telah ada di dalam hadith sahih : “Seutama-utama solat adalah yang panjang Qunutnya”. Yang dimaksudkan dengan kata Qunut di sini adalah berdiri.
Berkata sekelompok ulama yang lain pula: Sujud itu lebih utama.
1. Kerana terdapat di dalam hadith sahih : “sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika ia sedang bersujud”.
2. Dan sabdanya di dalam hadith lain: “Tidaklah seorang hamba bersujud kepada Allah dengan satu sujud, melainkan Allah akan mengangkat baginya satu darjat dan menghapuskan daripadanya satu kesalahan”.
3. Berkata Rabi’ah Al Aslami r.a : “Ya Rasullallah! Aku sangat berharap agar dapat menemanimu di dalam syurga..”. Maka jawab Nabi SAW : “Bantulah aku untuk dirimu (mendapatkan hal tersebut) dengan memperbanyakkan sujud (yakni memperbanyakkan solat sunat)”.
4. Juga, surah pertama diturunkan di dalam Al Quran iaitulah ( Iqrak ) diakhiri dengan sujud.
5. Demikian juga, sujud adalah petanda kepada ketundukan dan pengabdian kepada Allah dengan sebenarnya berbanding rukun-rukun yang lain. Dan sujud adalah rahsia pengabdian kepada Allah, kerana pengabdian itu adalah ketundukan dan kehinaan dan itu di dalam sujud adalah lebih tampak dan ternyata.

Berkata segolongan ulama yang lain pula: Lamanya berdiri di dalam solat malam itu lebih utama; dan banyaknya rukuk dan sujud pada siang hari itu lebih utama.
1. Kerana dikhususkan ibadah malam itu dengan penyebutan berdiri ( Qiyam ). Seperti firman Allah : “Dan bangunlah berdiri pada waktu malam..” [Surah Al Muzzammil]
2. Dan sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berdiri (beribadat malam) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampunkan dosanya yang telah lalu”.

Sebahagian ulama pula berpandangan : Sama sahaja kelebihan kedua-dua rukun ini. Kelebihan berdiri adalah dengan bacaan Al Quran di dalamnya, sementara kelebihan sujud pula adalah dengan posisinya yang penuh ketundukan dan kekhusyukan itu. Maka dzikir (bacaan) ketika berdiri lebih afdhal dari dzikir (bacaan) sujud. Dan posisi sujud adalah lebih afdhal daripada posisi berdiri.

No comments:

Post a Comment